Pages

PENAMPILAN DIRI - IMEJ DIRI

Topik Minggu 1 dan 2


Definisi Imej Diri 


Imej diri adalah anggapan atau persepsi diri kita terhadap ‘jenis dan orang bagaimanakah diri kita ini?’. Ianya terjadi hasil daripada kepercayaan kita terhadap diri kita sendiri.


Tetapi kebanyakan daripada kepercayaan mengenai diri kita adalah sebenarnya terjadi tanpa kita sedari hasil dari pengalaman-pengalaman kita pada masa lampau, kejayaan dan kegagalan, penghinaan dan kebanggaan kita serta reaksi orang lain terhadap kita.


Pakar psikologi dan kemanusiaan sependapat mengatakan bahawa harta yang paling bernilai bagi manusia ialah imej dirinya, iaitu gambaran mental mengenai siapakah dirinya. Gambaran ini menentukan reaksi kita terhadap hubungan kita dengan orang lain. Sebelum kita dapat diterima dan dapat meyakinkan orang lain, kita mestilah merasakan dan memastikan diri kita boleh diterima seperti yang ada. Kita mesti yakin dan percaya kepada diri sendiri.


Imej diri menjadi kunci kejayaan ke arah penghidupan yang lebih baik berdasarkan faktor bahawa segala tindakan, perasaan dan perlakuan kita mahupun kebolehan diri adalah sentiasa beriringan dengan imej diri yang telah terbentuk, iaitu kita akan bertindak sepertimana apa yang kita fikirkan mengenai diri kita dan kita tidak akan bertindak sebaliknya kerana ianya bukanlah diri kita.


Menurut Maznah Hamid dalam bukunya "MOTIVASI MEMBURU KEJAYAAN", imej diri yang meyakinkan adalah gabungan di antara empat perkara berikut :


Rasa Hormat Dan Bangga Diri (Self-esteem)


Nilaian terhadap diri sendiri, rasa penghormatan atau sayangkan diri sendiri. Jika kita tidak sayang dan menghargai diri kita sendiri, bagaimana orang lain akan menyayangi dan menghargai diri kita dan jika kita tidak yakin dan hormat pada diri kita, bagaimana nak harapkan orang lain akan yakin dan hormat pada diri kita.
Percakapan Kepada Diri Sendiri (Inner communication)


Mesej yang kita sampaikan kepada diri kita dan hati nurani kita amatlah memberi kesan kepada emosi dan tindak-tanduk kita. Tanpa kita sedari sebenarnya, setiap hari kita sampaikan beratus-ratus mesej melalui hati kecil kepada nurani kita sendiri dan mesej ini akan bertugas memberi arahan dalam bentuk rangsangan kepada urat saraf anggota badan kita untuk bertindak positif atau negatif. Oleh itu, latihlah diri kita supaya mesej atau kenyataan yang diberikan kepada diri kita adalah dalam bentuk positif sahaja.


Disiplin Diri


Bagaimana kita mendisiplinkan diri, membentuk tabiat dan sikap kita sebenarnya?. Mendisiplinkan diri kita bukan bererti kita harus menghadkan diri kita atau penafian diri yang membuat diri kita berada dalam keadaan pasif. Sebenarnya disiplin diri adalah merupakan ketetapan dan keteguhan hati. Ramai di antara kita yang tidak mempunyai disiplin diri yang kuat tapi hanya sekadar membiarkan keputusan hidup mereka ditentukan oleh takdir dan nasib.


Kawalan Diri


‘Kita berada di tempat duduk pemandu dan memegang stereng memandu kehidupan kita’. Kata-kata ini adalah dari seorang pujangga yang jika dianalisa, memang tepat ungkapan mengenai kehidupan kita. Apabila kita pemandu yang cekap, maka selamatlah perjalanan kita tetapi jika kita pemandu yang tidak cekap dan tidak berdisplin, maka terbabaslah kita bersama keluarga kita.
Keempat-empat faktor tadi boleh membentuk imej diri yang meyakinkan. Kunci penghidupan yang lebih baik adalah terletak kepada imej diri seseorang. Maka untuk itu, kita haruslah berusaha membina imej diri yang sihat dan meyakinkan.


IMEJ KENDIRI YANG POSITIF


Seseorang yang mempunyai imej diri yang positif adalah orang yang sering berasa gembira, berkeyakinan diri dan mempercayai sepenuhnya pada dirinya sendiri. Sikap positif ini akan membolehkannya menghadapi masalah dan cabaran dengan tabah. Dia senang didampingi oleh orang lain.


Kesedaran diri yang positif ialah sebenarnya berfikiran terbuka. Sikap positif dapat memberi kita semangat, dorongan dan sokongan dalam keadaan yang amat rumit dan genting, disamping mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan itu. Jika kita benar-benar percaya dan yakin bahawa matlamat yang dirancang dapat dicapai, maka sikap kita akan memberi dorongan dengan membekalkan tenaga untuk membantu kita mencapai matlamat yang dicita-citakan.




CARA MEMBINA IMEJ KENDIRI YANG POSITIF


Menyatupadukan segala aspek diri yang positif.
Kenalpasti dan beri tumpuan kepada aspek diri yang positif seperti :-
Kelebihan sendiri. Ia merangkumi bakat, kebolehan, ciri-ciri peribadi dan kemahiran yang anda miliki.
Pencapaian dan kejayaan anda.
Pujian ikhlas yang diberikan kepada anda oleh orang lain.
Dengan menyatupadukan segala aspek diri yang positif anda akan dapat membentuk imej diri yang positif dan seterusnya berasa yakin pada diri.


Mengambilkira pandangan orang lain.


Gambaran yang anda bentuk tentang diri anda sendiri mungkin berbeza daripada pandangan orang lain. Anda mungkin berpendapat bahawa anda terlalu rendah, muka terlalu panjang atau warna kulit terlalu gelap tetapi orang lain mungkin berpendapat anda kelihatan menarik. Anda harus mengambil kira pandangan orang lain yang dianggap sesuai bagi membantu anda membina imej kendiri yang positif.
IMEJ KENDIRI YANG NEGATIF


Seseorang yang mempunyai imej diri yang negatif berasa tidak puas hati, tidak gembira serta tidak berupaya sepenuhnya mengendalikan perkara tentang dirinya sendiri. Ini menjadikannya kurang yakin tentang dirinya sendiri dan orang lain akan kurang yakin berdamping atau bergaul dengannya.


Ramai orang gagal mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kerana imej diri yang negatif dan bukan kerana kekurangan kemampuan atau bakat. Orang-orang yang memiliki imej diri yang negatif lazimnya akan mempunyai harga diri yang rendah, mereka tidak suka akan diri mereka. Oleh itu, mereka tidak kompeten untuk menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.






CARA MEMPERBAIKI ASPEK DIRI YANG NEGATIF


Memperbaiki diri sedikit demi sedikit


Cuba kenalpasti kelemahan atau aspek diri yang negatif dan terus berusaha memperbaikinya sedikit demi sedikit. Umpamanya, jika anda segan bergaul dengan rakan-rakan sekelas, pastikan anda berusaha untuk senyum kepada mereka.


Berfikiran positif


Biasanya kelemahan atau aspek diri yang negatif sukar diubah. Namun demikian ia boleh diperbaiki jika anda berfikiran positif dan menetapkan hati untuk berusaha. Orang yang berfikiran positif yakin bahawa dia sanggup melakukan sesuatu walaupun susah dan anda akan terus berusaha sehingga berjaya.


Menerima kekurangan diri sendiri.


Anda perlu menerima hakikat bahawa terdapatnya beberapa keadaan tentang diri anda yang memang tidak boleh diubah atau diperbaiki. 


Menganalisis pengalaman untuk memperbaiki diri


Untuk menganalisis pengalaman, anda perlu menilai kesan baik buruknya sesuatu yang telah berlaku pada diri anda. Analisis seperti ini akan membolehkan anda menilai tingkah laku dan seterusnya memperbaiki diri. 


Menganalisis kegagalan


Kegagalan untuk melakukan sesuatu tidak bermaksud bahawa anda telah gagal dalam hidup. Cara yang paling baik untuk mengatasi kekecewaan akibat kegagalan adalah dengan menerima hakikat dan seterusnya cuba memperbaiki kelemahan diri. Ini dapat dilakukan dengan menganalisis kegagalan tersebut dan mengenalpasti puncanya. 


Melakukan perkara yang berfaedah


Kadang-kadang penerimaan oleh rakan-rakan amat dipentingkan oleh seseorang individu supaya dapat diterima oleh rakannya, dia terikut-ikut dengan gaya hidup mereka seperti dari segi pakaian, solekan, cara bercakap, tingkah laku dan lain-lain. Kita sepatutnya bertanya kepada diri sendiri samada perkara yang dilakukan itu bermakna, bermanafaat dan dapat membantu membina imej kendiri yang positif. 


Cadangan-cadangan Untuk Membentuk Sikap Positif


Amalkan sikap positif dalam kehidupan. Elakkan diri daripada bersikap pesimis.
Bentuk pemikiran yang positif. Tukarkan percakapan negatif kepada positif.
Mulakan setiap hari dengan perasaan optimis dan pemikiran yang positif.
Jangan jadi seorang yang mudah marah.
Langkah-langkah Untuk Memprogramkan Semula Imej Anda
Tuntutlah kebenaran tentang diri anda. Kebenaran itu akan membebaskan anda daripada belenggu pemprograman negatif yang lalu. Adakah imej diri anda kini mencerminkan diri anda yang sebenar? Apakah kekuatan dan kelemahan anda? Apakah kepercayaan dominan anda ?
Cabar dan padamkan kepercayaan negatif anda.
Gantikan fikiran negatif dengan fikiran positif. Fikirkan kejayaan bukannya kegagalan. Jangan sekali-kali merendahkan diri anda. Lihatlah diri anda dari perspektif baru, jadilah sahabat karib diri anda.
Perteguhkan imej diri anda dengan menuliskan pernyataan positif tentang diri anda pada kad-kad pengesahan dan letakkan di tempat-tempat yang mudah anda lihat.
Bayangkan gambaran mental baru anda yang berjaya. Ini akan membolehkan minda separa-sedar anda bertindakbalas seolah-olah anda sudah berjaya dalam usaha baru anda.

No comments:

Post a Comment